SILAKAN_siGn_iN_GuEStBooK_faWa..

FOLLOWERS

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

2 Dis 2008

Songket berubah wajah


Sesuai dengan cita rasa masyarakat hari ini, fabrik songket mengalami evolusi tersendiri terutamanya pada rekaan motifnya yang lebih segar.





ANTARA kain tenunan tradisional Melayu seperti kain tenun Pahang, kain ikat loseng, kain ikat pakan dan kain limar, kain songketlah merupakan kain yang paling popular dan masih digunakan oleh masyarakat Melayu sehingga hari ini.

Sering kali kain songket dipandang sebagai kain mewah yang penuh dengan benang emas. Namun nama kain emas ini dipanggil dengan nama 'kain songket' kerana pembuatan teknik dalam proses tenunan,iaitu 'menyongket'.

Dalam proses menenun kain, benang loseng perlu disediakan di dalam alat tenun kek. Kemudian benang pakan akan disusuli dari kiri dan kanan penenun untuk dijadikan kain. Dalam proses membuat motif pada kain, benang loseng perlu diangkat supaya benang emas dapat ditenun mengikut motif dan proses ini dipanggil 'angkat butang'.

Dengan kata lain, benang emas atau perak merupakan benang tambahan untuk menghasilkan corak-corak atas permukaan kain tenun tersebut. Dengan ini, kain songket adalah kain yang dihasilkan secara tenunan pakan tambahan (extra weft weave).

Songket modenSongket Melayu kini telah berubah selera daripada motif-motif lama yang ditiru dari zaman-berzaman kepada rekaan baru.

Bermulanya corak dan motif songket diubahsuai sejak tahun 1980-an di mana Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) membuat rekaan-rekaan baru supaya pengusaha songket mendapat idea-idea baru untuk dijadikan pakaian serta barangan kraf.

Songket ela mula dihasilkan supaya kain songket dapat digunakan untuk membuat barangan kraf seperti beg tangan, bekas tisu, bekas pencil, bingkai kecil dan sebagainya.

Biasanya, motifnya kecil-kecil dan ditenun dengan alat tenun jacquard. Bermula pada 1990-an, banyak perubahan motif-motif baru yang telah dihasilkan oleh PKKM.

Bagaimanapun struktur kain songket sarung atau songket selendang tidak diubah. Yang diubah hanya motif-motif songket, contohnya seperti motif daun kelapa, motif pending, bunga empat kelopak, bunga kenanga, bunga cempaka hutan, kacang bendir, sulur kacang dan sebagainya. Di sini, penggunaan bagi kain songket telah dipelbagaikan.


TERDAPAT juga songket moden yang ditenun dengan motif baru dan diselang-seli dengan motif lama. - Gambar hiasan


Menjelang tahun 2000, daripada penilaian penulis ke atas kerja-kerja pelatih Kraftangan Malaysia, didapati mereka telah berani untuk melahirkan idea-idea baru bagi mencorakkan songket.

Contohnya, motif seperti bunga sejambak dengan daun dan ranting yang diulang mengikut susunan blok atau separuh blok.

Di samping itu, benang metalik telah digunakan dengan pelbagai warna dan ia telah mendapat perhatian orang ramai.

Namun begitu bagi pereka-pereka yang kurang mahir, mereka akan melahirkan corak-corak yang keras dan warna yang 'sumbang'.

Bagaimanapun, mereka masih mengekalkan struktur kain sarung dan kain selendang seperti asal. Hanya motifnya digubah secara bebas daripada corak tradisional dan warna yang pelbagai.

Ini adalah inovasi dari segi bahan yang digunakan semasa menenun kain songket. Jika dahulu coraknya banyak menggunakan corak teluk berantai, bunga tampuk manggis atau bunga bintang, kini motif-motifnya telah bertukar kepada motif-motif kontemporari.

Di samping itu, terdapat juga songket moden yang ditenun dengan motif baru dan diselang-seli dengan motif lama.




Pembaharuan songket berlaku mungkin kerana saingan dengan kemunculan kain-kain batik yang turut berkembang.

Kebanyakan motif songket yang baru, terpengaruh dengan rekaan batik yang banyak menggunakan motif bunga-bunga dan daun. Selain itu teknik ikat loseng atau ikat pakan digunakan sebagai warna latar kain untuk menampakkan kelainan dan eksklusif.

Kain songket yang kelihatan mewah dengan motif-motif benang emas, tidak sesuai dipakai pada sebarangan tempat, tambahan pula dengan warna dan motif-motif tradisional hanya elok sebagai pakaian pengantin serta pakaian tradisional.

Namun begitu, songket moden yang direka oleh pereka mahir mampu membawa tekstil ini ke peringkat yang lebih tinggi. Songket yang direka dengan warna-warna lembut, terang atau gelap perlu bersesuaian dengan motif dan gaya fesyen yang ditentukan.

Bagaimanapun, kain songket tradisional masih mempunyai identiti yang menampakkan kehalusan serta keasliannya. Di sini dapat kita melihat perbezaan antara yang lama dan yang baru. Bagi songket moden, ini adalah satu perubahan yang boleh diketengahkan untuk pasaran dalaman dan jika pandai memilih kesesuaian warna dan corak, ia boleh dijual sehingga ke pasaran global.

2 ulasan:

LilyPatel berkata...

salam...akak saya sgt berminat ngan tenunan motif corak moden nih.... ade tak lagi gambar2 tenunan moden?....

LilyPatel berkata...

salam...akak saya sgt berminat ngan tenunan nih...akak ade lagi tak pic tenunan motif moden....?

from wanie

from wanie