SILAKAN_siGn_iN_GuEStBooK_faWa..

FOLLOWERS

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

2 Dis 2008

Kain limar kian dilupakan



Fabrik berkualiti tinggi yang dicipta khusus untuk kerabat diraja dan orang berada ini semakin lenyap selepas tercetusnya Perang Dunia Kedua.


KAIN limar yang berkualiti dicipta khasnya untuk golongan kerabat diraja.



TEKNIK ikat yang telah diperkenalkan untuk melahirkan corak-corak di atas permukaan kain seperti pada kain pua; tenunan orang Iban, Sarawak, merupakan hasil tenunan kuno yang masih dapat dipertahankan sehingga hari ini.

Kain pua mempunyai batasan panjang kain yang terhad kerana menggunakan alat tenun tegang belakang di mana benang loseng (benang yang berada dalam alat tenun) hanya sepusingan panjang alat tersebut.

Evolusi tenunan berkembang seterusnya melahirkan teknik tenunan ikat loseng yang membolehkan penenun menghasilkan panjang kain yang tidak terhad.

Proses ini terjadi kerana penggunaan alat tenun kek Melayu yang boleh menyimpan benang loseng di bahagian belakang kek.

Dengan terciptanya alat tenun kek, kemajuan dari segi teknik dapat mengubah daripada tenunan ikat loseng kepada tenunan ikat pakan (benang yang ditenun ke dalam benang loseng) yang lebih rumit dan berkualiti.

Di kawasan pantai Timur teknik ikat pakan telah menghasilkan kain limar yang berkualiti tinggi, khas ciptaan untuk golongan kerabat diraja dan orang berada.

Malangnya kain limar telah lenyap daripada diusahakan oleh penenun Pantai Timur setelah tercetusnya Perang Dunia Kedua tidak sebagaimana kain Pua yang masih dipertahankan penghasilannya sehingga kini.

Kain limar, kain klasik Melayu tidak dipakai lagi, tidak seperti kain sarung Makmee yang tetap disanjung orang Thai.

Tidak ramai mengetahui tentang kain ikat limar, mungkin ada yang melihatnya di muzium dan ada pada simpanan koleksi orang yang mengenali nilainya.

Kain limar amat dikenali ketika zaman pemerintahan Cik Siti Wang Kembang di Kelantan kira-kira pada tahun 1610 hingga 1677.

Kebanyakan kain ini terdapat di Kelantan dan Terengganu. Kain ini tidak boleh dinafikan, ia telah dipakai oleh golongan kerabat diraja dan orang yang berada.

Kain limar terbahagi pada dua jenis bentuk iaitu bentuk kain sarung dan kain lepas.

Bentuk kain sarung pula terbahagi kepada motif-motif yang kurang jelas pada badan kain, kepala kain dan kaki kain.


GAMBAR rajah menunjukkan perbezaan lokasi motif antara kain limar lepas dengan kain sarung limar.


Bagi kain lepas, motif-motif biasanya diadakan pada badan kain dan punca kain.

Motif-motif ini berbentuk kurang jelas oleh sebab hasil daripada tenunan ikat pakan, di mana benang pakan dihasilkan dengan cara ikat-celup mengikut corak yang tertentu.

Seterusnya ia dijemur hingga kering dan dibukakan ikatannya. Kemudian benang pakan ini dipusar menjadi peleting (bobbin) untuk ditenun ke dalam benang loseng (benang yang berada dalam kek tenun).

Apabila motif yang dihasilkan tidak jelas bentuknya maka penenun memanggilnya 'bunga cuai'. Cuai disini bermaksud tidak disengajakan.

Benang-benang pakan ditenun satu persatu sehingga terhasilnya bunga-bunga limar yang mengikut corak seperti corak bunga penuh atau teluk berantai, corak bertabur, corak jalur, corak siku keluang dan corak tapak catur. Kain limar juga mempunyai corak berayat atau corak bersurat.

Kain limar ini juga mempunyai empat jenis iaitu kain limar biasa, kain limar bersongket, kain limar Tenggarun, serta kain limar bersurat.

Motif-motif yang ada pada kain limar mempunyai persamaan motif pada kain songket.

Motif seperti tampuk kesemak, bunga bintang, tampuk manggis, bunga melur dan berayat adalah motif-motif yang popular dalam kain limar.

Penggunaan kain ini biasa dibuat untuk pakaian. Tiga helai kain limar telah dipakai oleh Cik Siti Wan Kembang.

Satunya dipakai sebagai kain kemban, biasanya kain ini tiada bersongket, ia ditenun kosong dan dihiaskan dengan motif-motif bunga limar. Satu lagi kain sarung limar bersongket dipakai secara melilitkan kain ini dikeliling pinggang dan dikemaskan dengan tali pinggang serta pending di bahagian tengah.

Pakaian ini disertakan pula dengan kain selendang yang menutup bahu yang terdedah. Pakaian Cik Siti Wan Kembang ini kelihatan sangat kemas dan anggun kerana memakai kain limar yang halus buatannya.

Tenunan kain limar dikatakan seni tenunan tertinggi nilai teknikal serta mutu kainnya.

Warna yang ada pada kain limar menyerlahkan warna-warna alam yang ada di sekeliling tanah air.

Keharmonian warna yang diguna mencerminkan unsur warna-warna tanah dan bumi.

Kebanyakan warna pada kain limar adalah warna merah tua, yang biasa terdapat daripada akar pokok mengkudu. Warna hijau dan kuning sangat sukar didapati mungkin kerana warna-warna tersebut sukar untuk dihasilkan.

Pada hari ini tidak ada penenun menghasilkan kain songket limar akan tetapi masih ada segelintir yang berminat untuk membuat kain songket dengan latarbelakangnya berwarnakan ikat loseng.

Kain songket ini dibuat secara ringkas tetapi tidak sehalus pembuatan kain limar bersongket. Walau bagaimanapun, inisiatif ini terhasil daripada penenun yang mahukan kelainan dalam penghasilan songket mereka.

Alangkah indahnya jika kain limar ini dihasilkan kembali mengikut corak dan motifnya yang asal.

Kita patut berbangga dengan kain tenunan warisan Melayu kita. Pembuatannya mungkin rumit sedikit tetapi tidaklah sukar untuk dihasilkannya.

Pokok pangkalnya, kesabaran dan ketekunan perlu ada pada seseorang penenun yang hendak menenun kain limar.

Kain selendang limar sangat sesuai dipakai dengan pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya. Dengan adanya selendang limar, wanita akan kelihatan lebih ayu dan anggun di mata masyarakat sekarang.

Bagi kain limar bersongket, saya anggap tekstil tenunan Melayu inilah yang paling tinggi mutunya dan patut diperkenalkan kepada semua generasi baru. Kain ini perlu di ketengahkan sebagai kain warisan budaya yang tiada tolok bandingnya.

Dr. Norwani Md. Nawawi merupakan seorang pensyarah, penyelidik, pereka dan penulis mengenai tekstil. Beliau kini berkhidmat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tiada ulasan:

from wanie

from wanie