SILAKAN_siGn_iN_GuEStBooK_faWa..

FOLLOWERS

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

20 Sep 2008

Legasi kain tenun



Perkembangan tekstil turut membuka jalan kepada para pereka fesyen untuk berkarya. Apakah yang berlaku enam dekad lalu?


Pakaian tradisional Melayu yang dahulunya kelihatan labuh dan gelobos diubahsuai mengikut perubahan zaman iaitu pakaian yang lebih ringkas dan mengikut susuk tubuh


DALAM mengkaji perihal pemakaian tekstil masyarakat Melayu, kita tidak perlu menjangkau jauh ke zaman silam, memadai menoleh kembali kira-kira enam dekad lalu semasa zaman pemerintahan British sebelum tercetusnya Perang Dunia Ke-2.

Orang Melayu pada masa itu telah menikmati pemakaian pelbagai jenis tekstil, sama ada buatan tempatan mahupun yang datang dari luar negara seperti dari negara China, India dan Eropah.

Ketika itu kain-kain tenun dan kain batik merupakan tekstil yang paling popular.

Tekstil yang diimport dari negara-negara tersebut termasuklah kain baldu, kain sutera satin, kain bawal atau kain kasa (voile) dan kain jacquard China.

Perkembangan tekstil turut membuka jalan kepada para pereka fesyen untuk berkarya. Ketika itu fesyen pakaian Melayu mengalami perubahan.

Pakaian tradisional Melayu yang dahulunya kelihatan labuh dan gelobos diubahsuai mengikut perubahan zaman iaitu pakaian yang lebih ringkas, mengikut susuk tubuh dan kelihatan seksi.

Pakaian asal orang Melayu dahulu sebelum adanya jarum atau mesin jahit adalah 'kain lepas' yang ditenun dan dililitkan di badan.

Kain hasil daripada tenunan ini merupakan kain yang ditenun sepanjang lebih kurang dua hingga tiga meter, berbentuk empat segi tepat dan asalnya tidak berjahit serta kedua punca hujung kain dilepaskan.

Bagi sesetengah masyarakat Kelantan, kain itu juga dikenali sebagai 'kain punca potong'.

Golongan lelaki memakai kain tersebut dengan melilit pada bahagian pinggang hingga ke bawah lutut.

Sementara bagi kaum wanita pakaian lazimnya terdapat tiga cara pemakaian kain tenun, iaitu kain lepas yang dililitkan di pinggang hingga ke buku lali, kain kemban yang menutup dada dan kain selendang bagi menutup kepala termasuk bahu.

Kain sarung hanya muncul kemudian setelah orang Melayu pandai menjahit.

Kain sarung orang Melayu biasanya mengandungi struktur kepala kain, badan kain dan kaki kain.

Corak yang banyak kelihatan pada kain sarung adalah di bahagian badan kain. Kepala kain yang berukuran kecil berada di bahagian tengah atau sedikit tepi dalam kain sarung.

Kaki kain pula berada di kedua belah tepi kain sarung.

Corak yang biasa ada pada badan kain sarung tenun adalah seperti corak tenun kosong, corak jalur berdiri, corak jalur melintang dan corak petak-petak atau petak catur.


TENUN biasa kain bercorak jalur melintang dan menegak.


Kain Tenun

Menenun merupakan kerja tangan yang paling penting bagi manusia menjadikan pakaian harian pada awal tamadun.

Asal permulaan corak dimulakan dengan corak jalur melintang, jalur menegak dan corak berpetak-petak.

Permulaan kain tenun tidak bercorak. Corak timbul apabila penenun mula pandai mewarnakan benang loseng dan benang pakan.

Untuk memahami teknik menenun, kita perlu mengetahui beberapa istilah tenunan yang lazim diguna dalam tenunan.

Benang loseng: Ia adalah benang yang memanjang dan dimasukkan ke dalam alat tenun yang dipanggil 'kek'.

Benang pakan: Ia adalah benang yang disusuli ke dalam benang loseng dari kiri atau kanan penenun.

Untuk menghasilkan corak jalur melintang penenun perlu menyusun benang loseng yang telah diwarnakan.

Benang-benang ini disusun berselang seli antara warna-warna yang telah dipilih mengikut reka cipta penenun. Hanya satu warna benang pakan yang digunakan.

Bagi corak jalur menegak pula benang pakan perlu disusun berselang-seli antara warna-warna yang dipilih mengikut kreativiti penenun ke dalam benang loseng yang mempunyai satu warna sahaja.

Biasanya kain bercorak jalur ini digemari oleh kaum lelaki untuk dijadikan baju Melayu.

Kelihatan segak bila kaum lelaki memakai baju Melayu menggunakan kain-kain tenun Pahang bercorak jalur.

Pada masa kini, kain tenun corak jalur dijadikan kain samping, yang dipakai oleh kaum lelaki.

Kaum wanita juga turut membuat baju tradisional dengan menggunakan kain bercorak jalur.

Kain ini kebanyakannya terdapat dalam tenunan Pahang yang diusahakan di Pekan, Pahang.

Corak berpetak terhasil apabila benang pakan selang-seli berwarna ditenun ke dalam benang loseng yang disusun berselang seli warna.

Corak berpetak ini terdapat beberapa saiz petak iaitu petak besar, sederhana dan kecil.

Jika petaknya kecil dan mempunyai garisan-garisan halus biasanya dipanggil kain corak Bugis. Bagi corak berpetak sederhana atau besar biasanya di panggil dengan nama corak petak catur atau tapak catur.

Tenunan ini juga dikenali dengan nama corak beragi dan kain ini biasanya terdapat di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sementara itu, kain yang diimport dari India dikenali sebagai kain pelikat. Kain ini dipanggil daripada nama tempat tekstil itu dieksportkan, iaitu bandar Pulicat di Tamil Nadu, India.

Kebanyakan kain pelikat bercorak petak-petak kecil dan mempunyai warna-warna seperti biru tua, kelabu, hitam, coklat tua dan putih.

Ada juga kain pelikat yang bercorak jalur melintang dan jalur menegak.

Pada masa kini, kain pelekat juga terdapat di pasar-pasar raya yang ditenun dan dibawa masuk dari Indonesia. Kain ini sangat popular dipakai oleh kaum lelaki untuk pakaian harian di rumah dan kegunaan semasa solat.

Kini, kain tenun yang bercorak jalur dan berpetak kembali mendapat perhatian.

Kain-kain ini digunakan sebagai baju kurung dan kebaya dengan dilihat baju di bahagian atas dipadankan dengan kain tenun berpetak.

Tidak pelik melihat baju kebaya yang dijahit dengan kain tenun corak jalur dan dipadankan dengan kain tenun berpetak.

Kain-kain ini kelihatan lebih kasual dan ia boleh dijadikan pakaian untuk ke pejabat mahupun ke majlis-majlis keraian.

Perkembangan corak pada kain tenun tidak berhenti setakat corak-corak jalur dan berpetak sahaja tetapi ia dikembangkan setelah penenun mendapat kemahiran teknik-teknik seperti ikat dan benang pakan tambahan.

Teknik-teknik ini dapat mencorakkan kain tenun dengan motif-motif yang lebih berbagai seperti bentuk-bentuk flora, fauna dan geometrik.

*** DR. NORWANI MD. NAWAWI merupakan seorang pensyarah, penyelidik, pereka dan penulis mengenai tekstil. Beliau kini berkhidmat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.


--------------------------------------------------------------------------------------------

pn noni is my x-lecturer,she teachs us fiber art @ weaving. she is sister to johan nawawi, husband to malaysian singer, nora.

2 ulasan:

ina berkata...

kak inna suka artikel ni fawa...

thanks!

~FAWA~ berkata...

untuk pengetahuan bersama, menarik sebenarnya kalau kita tahu cerita2 tekstil melayu lama ni kak inna.

from wanie

from wanie